Cerpen Pemain Catur |
Ditulis oleh Cikgu Zainudin |
Ahad, 05 Disember 2010 07:14 Sinopsis |
Enam beradik daripada keturunan ternama dalam permainan catur iaitu Uj, Ul, Us, Uk, Ur dan Um. Mereka terkenal kerana berketurunan al-Hakam iaitu rakan sepermainan Abu Bakar Muhammad Yahya as-Suli, iaitu salah seorang daripada dua pemain shatrani yang disegani di dunia. Uj merupakan anak sulung dalam keluarga tersebut mengajak Um adik bongsunya berlawan permainan catur. Bagi Uj, Um ialah adik yang paling mudah untuk dibentuk berbanding adik-beradiknya yang lain. Dia berharap Um dapat menggantikannya sebagai tonggak keluar. Um semakin berminat untuk bermain catur setelah mendengar kisah kehebatan pemain catur ternama di dunia. Kempen Uj berhasil. Uj mengajak Um berlawan catur untuk menguji pengetahuan. Um menolak dengan alasan bahawa dia hilang fokus ketika bermain kerana memikirkan soal ibunya yang sedang sakit. Um terpaksa menerima cabaran Uj untuk berlawan catur secara terbuka. Perlawanan berlangsung dengan sengit. Ahli keluarga yang lain tidak menyenangi perlawanan tersebut. Uj hampir kalah. Um berkalih untuk minum. Beberapa detik kemudian buah caturnya telah berubah. Um segera mengalih semula buah catur tersebut. Uj tidak berpuas hati lalu menjerit dan menghentak meja. Uj menuduh Um penipu dan memaksa Um mengaku kalah. Um ke bilik air mencuci muka untuk menenangkan diri. Sekembalinya ke meja apabila duduk, kakinya terkuis sebotol asid di bawah meja. Um berasa amat sakit. Ibunya yang ketika itu sedang sakit berasa amat hiba sehingga diserang angin ahmar. Keadaan semakin haru-biru, tiada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab meletakkan botol asid itu. Berlaku tuduh menuduh antara Um dengan Uj. Ibu meminta mereka bertenang namun, diabaikan. Keluarga tersebut mula berpecah kepada dua, iaitu ada yang menyokong Uj dan ada yang menyokong Um. Tema Keruntuhan moral dalam institusi kekeluargaan yang menyebabkan berlakunya perpecahan. Sikap tidak mahu mengalah dan bertolak ansur menyebabkan berlakunya pergaduhan antara Uj dengan Um. Mereka sanggup bertelingkah hanya kerana permainan catur. Malah pergaduhan itu juga telah menyebabkan perpecahan dalam keluarga mereka. Ibu mereka yang sedang sakit juga telah diabaikan. Persoalan 1. Persoalan sikap bangga yang menguasai diri. Sikap Uj dan Um yang tidak mahu mengalah dan mahu menang menyebab mereka bertelagah. Sedangkan hubungan mereka adalah sedarah iaitu adik-beradik. 2. Persoalan keharmonian dalam keluarga harus diutamakan. Ibu yang sedang sakit amat risau tentang pergaduhan anak-anaknya yang boleh menyebabkan keharmonian terganggu. 3. Pengkhianatan sesama ahli keluarga. Ahli keluarga terutama Uj dan Um bertindak di luar batasan semata-mata untuk menentukan kehebatan mereka dalam permainan catur. Plot Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu: (i) Permulaan Cerita dimulakan dengan apabila Um mengajak Uj berlawan catur bagi menentukan siapa yang lebih hebat. (ii) Perkembangan Uj berusaha menanam semangat dalam permainan catur kepada adiknya agar mengulangi sejarah kecemerlangan keluarga mereka sebagai pemain catur terhebat. Cerita diteruskan lagi dengan Uj dan Um mula berlawan catur. Perlawanan berlangsung dengan sengit untuk mencari kemenangan. (iii) Konflik Uk berbisik kepada Uj kononnya Um sedang membaca buku catur besar dan tebal yang dibelinya dari luar negara untuk mengalah Uj dan mendapatkan kehormatan keluarga. (iv) Klimaks Pengkhianatan berlaku apabila kaki Um terkena asid yang diletakkan di bawah meja catur. (v) Peleraian Ibu mereka diserang angin ahmar dan keluarga mereka berpecah kepada dua. Satu pihak menyokong Um dan satu pihak lagi menyokong Uj. Watak dan Perwatakan Watak Utama Uj Abang sulung yang menjadi ketua keluarga. Mempunyai lima orang adik dan pandai bermaina catur. Beliau juga adalah penyadang anugerah IGM dalam pertandingan catur. Pemarah – cepat panas baran apabila berhadapan dengan cabaran terutama ketika bermain catur. Berbangga akan keturunan - Mendedahkan keturunannya yang hebat iaitu al-Hakam juara catur terbaik dunia pada kurun ke-17 kepada Um. Bersemangat tinggi - sentiasa mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan yang disertai, serta mahu menaikan nama keluarganya setaraf dengan pemain catur ternama dunia. Pilih kasih - hanya mengagungkan adik-beradiknya yang pandai bermain catur sahaja untuk mewarisi penguasaan keluarganya. Watak Sampingan 1. Um Adik bongsu kepada Uj. Masih muda dan berpotensi dalam permainan catur. Mempunyai semangat juang yang tinggi - sanggup membaca buku dari luar negara untuk mendalami permainan catur. Berani – sanggup menyahut cabaran abangnya walaupun sudah mengetahui akan kehebatan Uj dalam permainan catur. Mengambil berat – Um sentiasa berfikir tentang kesihatan ibunya sedang sakit darah tinggi. Mementingkan diri sendiri – Um tetap bertelingkah dengan Uj walaupun, telah dilarang oleh ibunya sehinggakan ibunya mengalami angin ahmar. Teknik Penceritaan / Teknik Plot 1. Pemerian Pengarang menceritakan tentang watak Uj yang telah berjaya memperoleh gelaran IGM dalam permaian catur. 2. Dialog Perbualan di antara Uj dengan Um ketika hendak memulakan perlawanan catur sehingga menceritakan akan kehebatan keluarga mereka. 3. Imbas Kembali Mengimbas kembali akan moyang mereka iaitu keturunan al-Hakam yang amat terkenal dalam permainan catur pada kurun ke 17. 4. Suspens Pembaca tertanya-tanya akan keputusan perlawanan catur antara Uj dengan Um yang tidak berkesudahan. Latar Latar masa Berlaku selama tiga hari tiga malam semasa pertandingan berlangsung antara Uj dengan Um. Latar tempat Rumah keluarga Uj Biliik air Latar masyarakat Masyarakat yang mahir dalam permainan catur contohnya keluarga Uj. Masyarakat yang bangga dengan keturunan contohnya Uj yang seringkali menceritakan kehebatan keluarganya bermain catur kepada Um. Masyarakat yang kaya raya contohnya Uj dan adik beradiknya menugaskan dua orang doktor untuk merawat ibu mereka yang sakit Gaya Bahasa 1. Bahasa asing contohnya bahasa Indonesia (ruwet), bahasa Arab (kudrat) 2. Metafora contohnya cahaya kepintaran 3. Simile contohnya … Abang Uj seperti David the Gnome… 4. Sinkope contohnya … kota saya tadi di kanan, ni kenapa di kiri pula? … 5. Peribahasa contohnya … batu api …. Nilai 1. Nilai keberanian contohnya Um menyahut cabaran abangnya Uj untuk bertanding catur. 2. Nilai kegigihan contohnya Um berusaha bersungguh-sungguh menelaah buku tentang permainan catur. 3. Nilai kasih sayang contohnya Uj menyayangi adiknya Um. Pengajaran 1. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh agar berjaya dalam hidup 2. Semangat keberanian perlulah dimiliki oleh setiap individu agar semua cabaran yang ditempuh dapat diatasi dengan baik. 3. Kita hendaklah saling menyayangi antara adik-beradik kita agar kehidupan bahagia dan harmoni |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan