Identiti seseorang pencatur bergantung kepada latihan asas serta perspektif caturnya sendiri. Seandainya seseorang pencatur berjaya mepelbagaikan pengetahuannya, kemungkinan corak permainannya boleh dianggap sejagat atau 'universal'. Setiap pencatur perlu melalui pelbagai fasa sebagai pencatur. Menurut Richard Reti (seorang perintis pemikiran catur moden atau 'hypermoden'), setiap pencatur memiliki gaya yang hanya boleh dilakukan oleh individu itu sendiri.
Sesetengah pencatur lebih dikenali sebagai pakar penyerang seperti Gary Kasparov manakala yang lainnya sebagai ahli dalam pertahanan seperti Tigran Petrosin. Ada juga pencatur yang lebih suka mengorbankan material untuk menang seperti Mikhail Tal dan ada juga pencatur yang suka dengan strategi panjang seperti Anatoly Karpov. Ada juga pencatur yang lebih terkenal sebagai pakar dalam bukamainan seperti Dr John Nunn dan persiapan seperti Lajos Portish.
Jadi tidak hairanlah jika ciri pemain ini boleh dilihat daripada pemilihan bukamainan yang disukai.Tujuan bukamain ialah untuk melakukan pertahanan yang mantap serta mencari ruang bagi menguasai tapak-tapak penting terutama ruang tengah (d4, d5, e4 dan e5). Sistem bukamain yang baik biasanya menjamin permainan yang baik. Bukamainan yang dipilih akan menentukan fasa pertengahan dan penamat yang disasar. Contoh bukamain yang popular ialah Pertahanan Sisilia, Perancis, Alekhine, Ruy Lopez, dan Gambit Menteri.
Pemain yang suka bermain agresif pasti akan memilih bukamainan seperti Pertahanan Sisilia, King's Indian, Benoni dan Gruenfeld. Setengah pemain mungkin menyembunyikan kecenderungan dalam bukamainan yang lain tetapi mereka pasti akan memilih variasi Gambit Evans dalam Giucco Piano dan Variasi Exchange dalam Ruy Lopez. Pencatur yang suka bertahan akan memilih bukamain yang dianggap aman dan mungkin juga pasif seperti Petroff, Gambit Menteri, Inggeris dan Modes. Walau bagaimanapun status permainan corak bertahan ini tidak perlu diendahkan kerana pencatur yang berpengalaman pasti akan bijak memanfaatkan kedudukannya. Mereka juga akan bertindak agresif atau garang apabila permainan mengizinkan.
Akhir kata, matlamat bercatur ialah untuk mencapai kesempurnaan dan pencatur yang berjaya dalam pengertian sebenarnya ialah pencatur yang sudah mencapai taraf universal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan